Dinasti Toungoo တောင်ငူမင်းဆက်taungnguumainn saat | |
|---|---|
| 1510–1752 | |
Dinasti Toungoo di kemuncak keluasannya (1580) | |
Dinasti Taungoo atau Nyaungyan yang dipulihkan s. 1650 | |
| Status | Empayar/Kerajaan |
| Ibu negara | Toungoo (Taungoo) (1510–1539) Pegu (Bago) (1539–1599) Ava (Inwa) (1599–1613) Pegu (Bago) (1613–1635) Ava (Inwa) (1635–1752) |
| Bahasa yang umum digunakan | Rasmi Burma |
| Agama | Rasmi Theravada Buddhism |
| Kerajaan | Raja mutlak |
• 1485–1530 | Mingyi Nyo |
• 1530–1550 | Tabinshwehti |
• 1550–1581 | Bayinnaung |
• 1599- 1605 | Nyaungyan Min |
• 1605–1628 | Anaukpetlun |
• 1733–1752 | Mahadhammaraza Dipadi |
| Badan perundangan | Tiada |
| Sejarah | |
• Penubuhan dinasti Toungoo | 1485 |
• Kemerdekaan dari Kerajaan Ava | 16 Oktober 1510 |
• Perluasan kuasa Bayinnaung | 1510–1599 |
| 1599–1752 | |
• Penaklukan Hanthawaddy | 23 Mac 1752 |
| Populasi | |
• Bancian penduduk | 1,982,000 - 2,313,000[perlu rujukan] |
| Mata wang | Perak |
| Sekarang sebahagian dari | |
| Artikel berikut sebahagian dari siri Sejarah Myanmar |
|---|
| Sejarah awal Burma |
| Bandar / Negeri Pyu (100 BC-840 AD) |
| Kerajaan Mon (Abad ke-9, ke-11, ke-13 hingga ke-16, ke-18) |
| Kerajaan Pagan (849-1287) Empayar Pertama |
| Kerajaan Ava (s. 1364-1555) |
| Kerajaan Pegu (sehingga 1752) |
| Dinasti Toungoo (1486-1752) Empayar Kedua |
| Dinasti Konbaung (1753-1885) Empayar Ketiga |
| Perang Burma-Inggeris (1824-1852) |
| Arakan (selepas 1824) |
| Tenasserim (1824-1852) |
| Burma Hilir British (1852-1886) |
| Burma Hulu British (1885-1886) |
| Pemerintahan British di Burma (1886-1948) |
| Gerakan Nasionalis di Burma (selepas 1886) |
| Aung San |
| Penjajahan Jepun di Burma (1942-1945) |
| Burma pasca-merdeka, 1947-1962 |
| U Nu and U Thant |
| Era Ketenteraan (1962-1989) |
| Ne Win |
| Pemberontakan 8888 (1988) |
| Aung San Suu Kyi |
| Era Ketenteraan II (1989-kini) |
| [edit this box] |
Dinasti Toungoo (Burma: တောင်ငူမင်းဆက်, [tàʊɰ̃ŋù mɪ́ɰ̃ zɛʔ]; juga dieja dinasti Taungoo, dan dikenali sebagai dinasti Nyaungyan selepas 1599, merupakan dinasti yang memerintah Burma (Myanmar) dari pertengahan abad ke-16 hingga tahun 1752. Pada zaman kemuncaknya, Toungoo "melaksanakan kedaulatan dari Assam dan Manipur masa kini hingga ke sempadan Kemboja serta dari sempadan Arakan hingga ke Yunnan", dan merupakan empayar terbesar serta satu-satunya kuasa besar dalam sejarah Asia Tenggara.[1] Dinasti ini memerintah dalam dua tempoh: Empayar Toungoo Pertama (1510–1599) dan Pemulihan Nyaungyan (1599–1752).
Raja-raja awal kerajaan, Tabinshwehti dan Bayinnaung berjaya menyatukan semula wilayah-wilayah Kerajaan Pagan buat pertama kali sejak tahun 1287 serta menggabungkan Negeri-Negeri Shan buat pertama kali, selain memasukkan Manipur, Negeri-Negeri Shan China, Siam dan Lan Xang ke dalam empayar.[2] Empayar ini runtuh dalam tempoh 18 tahun selepas kemangkatan Bayinnaung pada tahun 1581.
Dinasti ini bangkit semula di bawah kepimpinan Nyaungyan Min dan anaknya, Anaukpetlun yang berjaya memulihkan sebuah kerajaan yang lebih kecil dan lebih mudah diurus merangkumi Burma Hilir, Burma Hulu, Negeri-Negeri Shan dan Lan Na menjelang 1622. Raja-raja Toungoo yang dipulihkan, yang berpusat di Ava (Inwa), membentuk sistem perundangan dan politik dan ciri-ciri asasnya diteruskan oleh Dinasti Konbaung hingga abad ke-19. Pihak istana menggantikan sepenuhnya jawatan ketua warisan dengan jawatan gabenor lantikan di seluruh lembah Irrawaddy serta mengurangkan hak keturunan ketua-ketua Shan dengan ketara. Pembaharuan perdagangan dan pentadbiran sekular membangunkan sebuah ekonomi yang makmur selama lebih 80 tahun.
Kerajaan ini mula mengalami kemerosotan secara beransur-ansur akibat pemerintahan berasaskan "peraturan istana". Bermula pada tahun 1720-an, ia menghadapi serangan oleh orang Meitei dari Sungai Chindwin dan pemberontakan di Chiang Mai. Serangan Meitei semakin hebat pada tahun 1730-an, dengan memasuki kawasan yang semakin jauh ke dalam wilayah tengah Burma. Pada tahun 1740, orang Mon di Burma Hilir melancarkan pemberontakan dengan menubuhkan Kerajaan Hanthawaddy. Angkatan Hanthawaddy menawan Inwa pada tahun 1752 dan menamatkan dinasti Toungoo yang telah berusia 266 tahun.
Sejarah
Raja Mingyi Nyo mengasaskan Empayar Toungoo Pertama (1510–1599) di Taungoo, jauh di hulu Sungai Sittaung di selatan Inwa, pada penghujung zaman Kerajaan Ava pada tahun 1510. Selepas penaklukan Inwa oleh para sawbwa Shan yang dipimpin Mohnyin pada tahun 1527, ramai penutur bahasa Burma berhijrah ke Taungoo, yang kemudian muncul sebagai pusat baharu.
Anak Mingyi Nyo, Raja Tabinshwehti menyatukan sebahagian besar Burma, mengukuhkan kuasanya dan bergerak ke selatan, menawan Delta Irrawaddy serta menumpaskan ibu kota Hanthawaddy di Bago. Pada tahun 1544, Tabinshwehti ditabalkan sebagai raja seluruh Burma di ibu kota purba Bagan. Pada masa tersebut, keadaan geopolitik Asia Tenggara telah berubah secara mendadak. Puak Shan memperoleh kuasa dalam sebuah kerajaan baharu di utara, kerajaan Ayutthaya telah muncul sebagai kuasa penaung di sekitar lembangan Sungai Chao Phraya, manakala Empayar Portugis tiba di selatan dan menakluk Melaka.
Dengan ketibaan pedagang Eropah, Burma sekali lagi menjadi pusat perdagangan penting, dan Tabinshwehti memindahkan ibu kotanya ke Bago kerana kedudukannya yang strategik bagi urusan perdagangan. Beliau kemudian mula membentuk sebuah angkatan tentera untuk menyerang negeri pesisir Rakhine di barat. Angkatan Tabinshwehti ditewaskan di Arakan tetapi beliau berjaya menguasai Burma Hilir sehingga ke Pyay. Beliau memimpin tenteranya yang berundur ke timur menuju kerajaan Ayutthaya, di mana beliau sekali lagi dikalahkan dalam Perang Burma–Siam (1547–49). Satu tempoh ketidakstabilan dan pemberontakan dalam kalangan bangsa yang ditakluk kemudian berlaku, dan Tabinshwehti dibunuh pada tahun 1550.
Empayar Bayinnaung
Bayinnaung, abang ipar Tabinshwehti, menaiki takhta pada tahun 1550 dan memerintah selama 30 tahun, melancarkan kempen penaklukan dengan menyerang beberapa negeri termasuk Manipur (1560) dan Ayutthaya (1564). Sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan panglima tentera yang berkesan, beliau menjadikan Taungoo sebagai negeri paling berkuasa di Asia Tenggara dan meluaskan sempadannya dari Laos hingga Ayutthaya. Bayinnaung bersiap sedia untuk melancarkan serangan terakhir yang menentukan terhadap kerajaan Arakan di barat apabila beliau mangkat pada tahun 1581.
Anaknya, Nanda Bayin dan para penggantinya terpaksa menumpukan usaha untuk menenteramkan pemberontakan di pelbagai bahagian kerajaan, dan penaklukan Arakan tidak pernah tercapai.
Pemulihan
Berhadapan dengan pemberontakan di beberapa bandar serta serangan semula Portugis, para pemerintah Taungoo berundur dari Burma Selatan dan menubuhkan dinasti kedua di Ava, iaitu Dinasti Nyaungyan atau Dinasti Toungoo yang Dipulihkan (1597–1752). Cucu Bayinnaung, Anaukpetlun (1605–1628), sekali lagi menyatukan Burma pada tahun 1613 dan menumpaskan percubaan Portugis untuk menguasai Burma. Pengganti Anaukpetlun, Thalun (1629–1648), membangunkan semula negara yang musnah akibat peperangan. Berdasarkan siasatan hasil Thalun pada tahun 1635, populasi lembah Irrawaddy dianggarkan sekitar 2 juta orang.[3]
Dinasti ini bertahan selama satu setengah abad lagi sehingga kemangkatan Mahadhammayaza pada tahun 1752. Dengan dorongan Perancis di India, Bago akhirnya memberontak terhadap Inwa, seterusnya melemahkan lagi kerajaan yang akhirnya tumbang pada tahun 1752. Kejatuhan dinasti Toungoo secara umumnya dikaitkan dengan kelemahan institusi di ibu kota, yang memburukkan lagi perpecahan dalaman dan pertikaian pewarisan takhta, serta kesan perdagangan tidak sekata yang berkembang dan kemungkinan inflasi harga terhadap sumber pendapatan golongan elit.[4]
Pentadbiran
Semasa dinasti Toungoo, pihak istana Burma melaksanakan satu siri pembaharuan yang mengukuhkan kestabilan serta jangka hayat relatif dinasti tersebut. Jika Empayar Toungoo Pertama telah mewujudkan penyatuan kerajaan-kerajaan merdeka di bawah seorang raja, maka raja-raja Toungoo Pemulihan lebih berjaya menundukkan negeri-negeri dataran rendah di bawah kawalan langsung takhta Burma.[4] Para putera senior dari negeri-negeri ini diwajibkan tinggal di ibu kota Burma di bawah pengawasan rapi, dan lambang kebesaran istiadat pemerintah wilayah turut diturunkan tarafnya.[4]
Pembaharuan lain merangkumi kawalan pusat secara langsung terhadap timbalan wilayah, hubungan yang lebih berkesan dengan ketua-ketua kampung wilayah, serta peluasan sistem ahmudan di sekitar ibu kota.[4] Bermula pada tahun 1635, istana Burma mula menjalankan bancian menyeluruh dan menyatukan akses kepada tenaga kerja serta kutipan cukai wilayah.[4] Kepaderian Buddha di Burma Hulu juga diletakkan di bawah peraturan kakitangan dan kewangan yang lebih berkesan.[4]
Senarai pemerintah
Berikut merupakan senarai pemerintah Burma dari dinasti Toungoo hingga kejatuhannya.
| Nama | Potret | Tarikh mula memerintah | Tarikh akhir memerintah | Hubungan dengan pendahulu |
|---|---|---|---|---|
| Mingyi Nyo | 16 Oktober 1510 | 24 November 1530 | Pengasas | |
| Tabinshwehti | 24 November 1530 | 30 April 1550 | Putera | |
| Bayinnaung | 30 April 1550 | 10 Oktober 1581 | Abang ipar | |
| Nanda | 10 Oktober 1581 | 19 Dismber 1599 | Putera; anak saudara Tabinshwehti | |
| Nyaungyan | 19 Disember 1599 | 5 November 1605 | Adik beradik tiri | |
| Anaukpetlun | 5 November 1605 | 9 Julai 1628 | Putera | |
| Minye Deibba | 9 Julai 1628 | 19 Ogos1629 | Putera | |
| Thalun | 19 Ogos 1629 | 27 Ogos 1648 | Bapa saudara | |
| Pindale | 27 Ogos 1648 | 3 Jun 1661 | Putera | |
| Pye | 3 Jun 1661 | 14 April 1672 | Abang | |
| Narawara | 14 April 1672 | 27 Februari 1673 | Putera | |
| Minye Kyawhtin | 27 Februari 1673 | 4 Mei 1698 | Saudara jauh; Cucu Raja Thalun | |
| Sanay | 4 Mei 1698 | 22 Ogos 1714 | Putera | |
| Taninganway | 22 Ogos 1714 | 14 November 1733 | Putera | |
| Mahadhammaraza Dipadi | 14 November 1733 | 22 Mac 1752 | Putera |
Catatan
- ^ Lieberman 2003: 151–152
- ^ Lieberman, Victor B. (2014-07-14). Burmese Administrative Cycles: Anarchy and Conquest, c. 1580-1760. Princeton University Press. m/s. 16. ISBN 978-1-4008-5585-8. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 September 2021. Dicapai pada 18 January 2021.
- ^ Dr. Than Tun (December 1968). "Administration Under King Thalun". Journal of Burma Research Society. 51, Part 2: 173–188.
- ^ a b c d e f Lieberman, Victor (2018). "Was the Seventeenth Century a Watershed in Burmese History?". Dalam Reid, Anthony J. S. (penyunting). Southeast Asia in the Early Modern Era: Trade, Power, and Belief (dalam bahasa Inggeris). Cornell University Press. ISBN 978-1-5017-3217-1. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 June 2020. Dicapai pada 3 June 2020.
- Victor B. Lieberman, "Burmese Administrative Cycles: Anarchy and Conquest, c. 1580–1760", Princeton University Press, 1984.








