Daud bin Yusof | |
---|---|
Kelahiran | 1920 Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan |
Meninggal dunia | 1987 Kampung Meranti, Pasir Mas, Kelantan |
Terkenal kerana | Ulama, Guru Pondok, Ahli Politik PAS |
Anak-anak | YB Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Daud, Haji Mohd Mansor Daud |
Tuan Guru Haji Daud bin Yusof (1920–1987) merupakan seorang ulama terkenal dari Pasir Mas, Kelantan, dan merupakan ayah kepada Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan sejak tahun 2023. Beliau dikenali dengan gelaran Tuan Guru Haji Daud Meranti.
Latar belakang
Beliau dilahirkan di Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan pada tahun 1920. Ibunya bernama Khadijah binti Samah dan beliau merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik. Ayah beliau, Tuan Guru Haji Yusof bin Haji Ibrahim, ialah seorang ulama tempatan yang pernah berguru dengan Tok Pulau Ubi dan Tuan Guru Haji Abdul Somad Geting.
Pendidikan
Pendidikan awal beliau bermula di Pondok Kubang Bemban, Pasir Mas di bawah bimbingan Tuan Guru Haji Abdul Ghani, dan kemudian di Pondok Bunohan bersama Tuan Guru Haji Salleh Pedada.
Pada usia 14 tahun, beliau dihantar oleh ayahnya untuk melanjutkan pelajaran ke Mekah al-Mukarramah. Di sana, beliau mendaftar di Madrasah Darul Ulum dan turut menuntut ilmu di Masjidil Haram pada waktu petang dan malam. Antara guru-guru beliau di sana ialah:
- Syeikh Muhammad Yassin Isa al-Fadani
- Sayyid Muhammad Amin Kutbi
- Sayyid Alwi Abbas al-Maliki
- Syeikh Muhammad al-‘Arabi
- Syeikh Abdul Rahman bin Syeikh Muhammad Khatib al-Malebari
- Syeikh Ibrahim al-Fathani
- Syeikh Sulaiman Ambon
- Syeikh Hassan al-Yamani
- Syeikh Noh al-Kalantani
- Syeikh Abdul Qadir al-Mandili
- Syeikh Hussin Palembang
- dan lain-lain
Beliau tinggal dan belajar di Mekah selama 15 tahun sebelum kembali ke Pasir Mas pada tahun 1949.
Kerjaya
Sekembalinya ke tanah air, beliau menetap di Kampung Meranti dan mengajar di madrasah berhampiran rumahnya. Tidak lama kemudian, beliau menubuhkan sebuah pondok pengajian di situ yang dikenali sebagai Pondok Meranti.
Beliau pernah menjadi calon PAS dalam Pilihan Raya Umum 1959 dan 1964, dan memenangi kedua-duanya. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Mas.
Pada tahun 1970-an, beliau dilantik menjadi salah seorang guru tetap di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, dan juga sering menyampaikan kuliah di Pondok Haji Ali, Meranti.
Keluarga
Beliau merupakan ayah kepada beberapa orang anak, antaranya:
- YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Haji Mohd Nassuruddin Bin Haji Daud – Menteri Besar Kelantan (sejak 2023)
- Haji Mohd Mansor bin Haji Daud – merupakan mantan Mudir Maahad Tahfiz Al‑Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, mantan Penolong Pengarah di Yayasan Islam Kelantan, dan kini berkhidmat sebagai Pengarah serta Pengasas I dan Ahli Pemegang Amanah di Yayasan Daril Ulum, Kampung Meranti, Pasir Mas.
Wafat
Tuan Guru Haji Daud bin Yusof meninggal dunia pada tahun 1987 pada usia 67 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Meranti, Pasir Mas, Kelantan.
Warisan
Beliau berasal daripada keluarga ulama yang dihormati di Kelantan. Keturunannya masih meneruskan legasi keilmuan dan kepimpinan dalam bidang agama dan politik.
Rujukan
- Ahmad Syakir Mohd Nassuruddin, Khairulnazrin Nasir, Wan Mohd Al-Hafiz Wan Mustapa & Abdul Azib Hussain.
- https://harakahdaily.net/2023/08/ustaz-nassuruddin-daud-menyambung-legasi-ulamak/