Dato' Panglima Perang merupakan gelaran kebesaran khas yang diberikan oleh Sultan Kelantan kepada individu yang layak. Gelaran ini mempunyai konotasi ketenteraan dan sejarahnya bermula pada abad ke-18. Gelaran ini tidak boleh digunakan secara umum dan hanya dikurniakan melalui istiadat rasmi.
Sejarah
Individu pertama yang memegang gelaran Dato' Panglima Perang ialah Wan Mahmud, selepas dilantik oleh Sultan Muhammad I sebagai Pembesar di Istana Balai Besar pada tahun 1790. Wan Mahmud merupakan anak kepada Tuan Khomis bin Tuan Kundur bin Long Bahar atau lebih dikenali sebagai Mandur Misa.
Mandur Misa merupakan salah seorang sahabat Long Ghafar dan Long Yunus dalam Perang Kota Kubang Labu II pada tahun 1762 dan telah dianugerahkan kawasan Lundang atas sumbangannya.
Dato' Panglima Perang kemudiannya berkahwin dengan Engku Che' Nik, puteri sulong Long Gafar, dan dikurniakan tiga orang anak, iaitu Wan Sulong, Wan Sulaiman, dan Wan Aminah. Selepas wafatnya Wan Mahmud pada tahun 1830, gelaran ini diturunkan kepada anaknya, Wan Sulong, yang dikenali sebagai Dato' Panglima Perang Lundang II.
Penganugerahan Kontemporari
Pada tahun 2019, Ustaz Dato' Haji Mohd Nassuruddin Daud dikurniakan gelaran Dato’ Panglima Perang bersama Darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.) sempena Hari Keputeraan Sultan Muhammad V ke-49. Ustaz Nassuruddin merupakan bekas penuntut Universiti Al-Azhar Mesir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti sejak 1995, serta terkenal dengan gelaran 'Singa PAS'.
Kedudukan Gelaran
Gelaran ini merupakan darjah kebesaran rasmi yang termaktub dalam istiadat negeri Kelantan. Setiap negeri mempunyai darjah kebesaran sendiri, yang diberikan berdasarkan pangkat, bidang, dan kelayakan penerima. Sesetengah darjah hanya khusus untuk golongan raja atau kerabat kanan, manakala Dato' Panglima Perang merupakan penghormatan khas untuk individu yang layak sahaja.