| Babah | |
|---|---|
| Pengarah | Mohd Shah Faizul |
| Lakon layar | Wan Rafiq Fadzly |
| Dihasilkan oleh | Wan Rafiq Fadzly |
| Dibintangi |
|
| Sinematografi | Nadjmee Nasarudin |
| Disunting oleh | Radzi Rajudin |
| Muzik oleh | Radzi Rajudin |
Syarikat penerbitan | Nads Media Entertainment Sdn Bhd |
| Diedarkan oleh | Nads Media Entertainment Empire Film Solution |
Tarikh tayangan | 5 Disember 2024 |
Masa tayangan | 129 minit |
| Bajet | RM 1.3 juta |
| Pecah panggung | RM 7.09 juta |
Babah ialah sebuah filem drama Malaysia tahun 2024 arahan Mohd Shah Faizul Ibrahim, diterbitkan oleh Nads Media Entertainment. Filem ini mengisahkan kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah, Isyak, terhadap anak perempuannya, Maya, yang berjuang dengan Sindrom Guillain-Barré. Filem ini telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 5 Disember 2024.
Babah memenangi 6 dari 9 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-34 (termasuk Filem Terbaik).[1]
Sinopsis
Babah menyoroti perjalanan hidup Isyak, seorang ayah yang mengabdikan dirinya untuk menjaga anak perempuan kesayangannya, Maya. Bagi Maya, Isyak adalah cinta pertama yang hadir dalam hidupnya sebagai pelindung dan penyayang, manakala bagi Isyak, Maya adalah puteri yang perlu dilindungi selamanya. Kisah ini menjadi lebih mendalam apabila Maya dewasa dan diuji dengan penyakit serius, lalu bergantung sepenuhnya kepada ayahnya. Melalui ujian getir, mereka berdua menghadapi harapan, ketabahan, dan pengorbanan tanpa batas.
Pelakon

Pelakon utama
- Qi Razali sebagai Isyak
- Sweet Qismina sebagai Maya
- Cristina Suzanne sebagai Hayati
- Adam Lee sebagai Ikmal
- Kis Aisha sebagai Maya (7 tahun)
Pelakon undangan
- Hazama
- Jesse Lim
- Cupcake Aisyah
- Melanie Tan
- Afiq Hamidon
- Arieff Yong
- Natasha Hudson
- Noh Salleh (kameo)
Produksi

Filem Babah berlatarbelakangkan beberapa era, bermula dari tahun 1990-an hingga 2020. Ini memerlukan pasukan produksi menyediakan pelbagai props dan reka bentuk set yang tepat bagi mencerminkan setiap era tersebut. Produksi filem ini turut menghadapi cabaran dalam memastikan setiap babak disampaikan dengan realisme dan emosi yang tulen.
Latar belakang dan inspirasi
Idea asal untuk Babah muncul setelah penerbit dan pencetus idea, Nadia Nadzri, menyaksikan klip video tular tentang seorang ayah membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuannya. Melalui inspirasi itu, filem ini bertujuan untuk menggambarkan perasaan yang mendalam di antara ayah dan anak perempuan. Satu lagi klip viral mengenai seorang wanita yang berjuang dengan Sindrom Guillain-Barré turut memberi inspirasi, menambah elemen kesedaran sosial dalam filem ini.
Pengarahan
Mohd Shah Faizul Ibrahim menerima tawaran untuk mengarahkan Babah selepas membaca skripnya, yang disifatkan sebagai penuh dengan emosi peribadi dan dekat dengan realiti. Mohd Shah percaya bahawa konsep “cinema verité” yang diguna pakai – gaya penceritaan yang bersahaja dan realistik – membantu menyampaikan emosi mendalam yang digambarkan dalam filem ini.
Tema
Filem Babah mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan, dan harapan. Ia menyoroti perasaan rindu yang mendalam – rindu seorang ayah terhadap masa-masa bersama anak perempuannya serta perasaan seorang anak perempuan yang mengingati kasih sayang ayahnya. Tema ini memberi impak emosi yang mendalam kepada penonton, terutama bagi mereka yang dapat mengaitkan dengan hubungan ayah-anak.
Runut bunyi

Filem ini turut menampilkan runut bunyi lagu Rahsia Tuhan oleh Noh Salleh dan "Lagu Cinta" oleh Panji Sakti dari Bandung, Indonesia yang menyumbang kepada pengalaman emosi yang ingin disampaikan melalui Babah. Penyanyi dan komposer, Noh Salleh, mendedahkan lagu Rahsia Tuhan yang menjadi runut bunyi filem Babah adalah lagunya yang paling memberi impak sepanjang 18 tahun dalam industri hiburan.
Menurut Noh, ketika menciptakan lagu itu awal tahun 2024, dia turut berhadapan dugaan apabila diuji dengan perpisahan dan kehilangan dua orang anak. “Saya melalui macam-macam perkara terutama sebagai seorang bapa. Anak saya kena ambil dan dua orang anak saya meninggal. Semasa penerbit tawarkan (buat lagu) memang saya rasa macam ada persamaan jalan cerita filem ini. Ia sesuatu yang benar dan bukan lagu yang dibuat-buat dari kisah fiksyen. Ia sangat dekat dengan diri saya.
“Sebenarnya, setahun lalu penerbit filem ini, Nadia, ada tawarkan untuk buat lagu. Namun beberapa kali saya tolak. Ini kerana saya sukar mendapatkan mood dan rasa ikhlas yang tepat. Saya tidak mahu ia hanya lagu yang dibuat kerana disuruh,” katanya.
Menurut Noh, Rahsia Tuhan telah menciptakan rekod baru untuknya sebagai penyanyi apabila lagu berkenaan bukan hanya tular, malah menyentuh hati pendengar daripada bangsa berbeza.
Keluaran dan Sambutan
Tayangan
Satu majlis gala perdana telah diadakan pada Ahad, 1 Disember 2024, empat hari sebelum tarikh tayangan rasmi di pawagam. Filem ini telah mengutip kutipan sebanyak RM 6 juta selepas sebulan tayangan.[2]
Ulasan
Rata-rata ulasan filem ini ialah positif. Aidil Rusli dari The Malay Mail mengatakan filem ini ialah filem kecil yang beremosi.[3]Chandini Del dari The Rakyat Post mengulas filem ini sebagai sebuah pengembaraan masa.[4] Selven Raj dari Free Malaysia Today mengatakan filem ini wajar disaksikan di layar perak.[5] Mohd Haikal Isa dari Kosmo memberi markah lapan per sepuluh.[6]
Anugerah dan pencalonan
Babah membolot enam trofi termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34 yang disiarkan secara langsung TV2 dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Dengan kemenangan itu, penerbit filem Babah iaitu Nads Media Entertainment menerima Dana Kandungan Kreatif (DKD) bernilai RM1 juta dan trofi. Babah menewaskan empat finalis iaitu Blood Brothers: Bara Naga, Soloz: Game of Life; Takluk: Lahad Datu dan Reversi.
Trofi Filem Terbaik disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada Penerbit Eksekutif Babah, Ainnur Rahela. FFM 34 bertemakan Karya Kreatif, Sinema Dinamik dikendalikan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim. Sebanyak 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari diadili juri. Pemenang 27 kategori menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas pula menerima RM10,000 dan trofi. [1]
Kemenangan Cristina Suzanne sebagai "Pelakon Paling Popular Asia" di Festival Filem Asia Kemboja Ketiga (CAFF) pada September 2025 menandakan kejayaan antarabangsa pertamanya. Beliau meraih anugerah itu menerusi filem Babah (2024), sekali gus mengiktiraf bakatnya di peringkat serantau dan mengharumkan nama industri perfileman Malaysia.[7]
| Anugerah | Kategori | Penerima | Keputusan |
|---|---|---|---|
| Festival Filem Malaysia ke-34[8] | Filem Terbaik | Wan Rafiq Fadzly, Nadia Mohd Nadzri, Ainnur Rahela | Menang |
| Pelakon Lelaki Terbaik | Qi Razali | Menang | |
| Pelakon Wanita Terbaik | Sweet Qismina | Menang | |
| Pengarah Harapan | Mohd Shah Faizul | Menang | |
| Cerita Asal Terbaik | Nadia Nadzri | Menang | |
| Lakon Layar Terbaik | Wan Rafiq | Menang | |
| Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Cristina Suzanne | Tercalon | |
| Pelakon Kanak-kanak Terbaik | Kis Aisha | Tercalon | |
| Poster Terbaik | Amar Baharudin | Tercalon | |
| Cambodia Asian Film Festival (CAFF) | Pelakon Paling Popular Asia (Kategori Asian Honours) | Cristina Suzanne | Menang |
Rujukan
- ^ Mohd Sallehhudin, Serimah; Riduan, A'qilah (2 November 2025). "Babah Filem Terbaik FFM 34". Berita Harian. Dicapai pada 3 November 2025.
- ^ Syazie, Kim (31 Disember 2024). "Raih kutipan 'box office' cecah RM6 juta, filem Babah bakal tembusi negara luar". Malaysia Dateline. Dicapai pada 31 Disember 2024.
- ^ Rusli, Aidil (2024-12-14). "'Kahar: Kapla High Council' & 'Babah': Two new Malay films worth checking out in local cinemas now". The Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-12-26.
- ^ Del, Chandini (2025-04-04). "'Babah': This Malaysian Film On Netflix Will Break Your Heart & You'll Love Every Second Of It". The Rakyat Post (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-07-22.
- ^ Razz, Selven (15 Disember 2024). "'Babah' movingly conveys one man's love for his daughter over time". Free Malaysia Today (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 22 Julai 2025.
- ^ Isa, Mohd. Haikal (12 Disember 2024). "Fuh, mata 'banjir' tak henti sebab Babah, Qi Razali anda hebat!". Kosmo. Dicapai pada 22 Julai 2025.
- ^ "Cristina Suzanne wins Asian Most Popular Actress in Cambodia - Yahoo Life Singapore". sg.style.yahoo.com (dalam bahasa Inggeris). 2025-09-08. Dicapai pada 2025-11-09.
- ^ "Bolot enam anugerah, Babah Filem Terbaik FFM34". Berita RTM. 2 November 2025. Dicapai pada 3 November 2025.








