Upanisad Aruneyi (IAST: Āruṇeyī Upaniṣad) (Sanskrit : आरुणेय उपनिषद्) juga dikenali sebagai Aruni atau Arunika Upanisad. Teks bahasa Sanskrit ini merupakan salah satu Upanisad kecil yang tergolong dalam kelompok 16 upanishad dalam Samaveda.[1] Ia membicarakan tentang kehidupan sannyasa atau kehidupan pertapaan dan pengunduran diri dari dunia. Oleh itu, upanishad ini diklasifikasikan sebagai sebuah Sannyasa Upanishad.
Dalam bahagian pertama, diceritakan bahawa seorang resi bernama Aruni pergi ke kediaman Prajapati (Tuhan segala makhluk; juga dikenali sebagai Brahma, Sang Pencipta) dan bertanya bagaimana cara untuk meninggalkan segala perbuatan atau tindakan duniawi. Prajapati menjawab bahawa seseorang itu harus melepaskan ikatan kekeluargaan dan persahabatan, meninggalkan benang suci (yajnopavita), sistem korban, kitab suci yang menyarankan upacara tersebut, dan juga keinginan untuk mencapai mana-mana alam kewujudan yang dikenali. Dengan kata lain, seseorang itu harus menerima jalan hidup sannyasa atau kerahiban mutlak.[2]
Bahagian kedua menjelaskan bahawa sesiapa sahaja, tanpa mengira tahap kehidupan, boleh memilih jalan kerohanian ini, asalkan terdapat semangat pelepasan yang mendalam dalam dirinya. Upacara simbolik untuk meninggalkan benang suci dan api korban dijelaskan, diikuti dengan anjuran untuk menumpukan diri kepada pengajian Aranyaka dan Upanisad.
Bahagian ketiga memperkenalkan mantra pujian yang terkenal—suatu formula suci yang diulang sebanyak tiga kali sebagai tanda bahawa seseorang itu telah melepaskan keterikatan kepada tiga dunia. Ia disusuli dengan doa Veda untuk perlindungan, serta garis panduan tentang pemakanan, pemakaian kain penutup tubuh (kaupin), dan amalan disiplin seperti brahmacarya (menjaga kesucian), ahimsa (tidak mencederakan makhluk) dan satya (berpegang pada kebenaran).
Bahagian keempat menerangkan tingkah laku seorang paramahamsa-parivrajaka, iaitu tahap tertinggi dalam kalangan pertapa pengembara. Mereka hendaklah tidur di atas tanah, menggunakan mangkuk tanah liat, labu atau kayu untuk menyimpan air, dan meninggalkan segala bentuk nafsu seperti syahwat, kemarahan, ketamakan dan keinginan jahat lain. Mereka harus sentiasa mengembara sendirian, kecuali ketika musim hujan.
Bahagian terakhir menerangkan cara memohon makanan (mengemis suci) sambil menyebut mantra 'Om', dan diakhiri dengan doa Veda yang terkenal, yang menggambarkan keadaan kesedaran tertinggi para bijaksana setelah mencapai pencerahan.
Rujukan
- ^ Deussen, Paul (1997). Sixty Upanishads of the Veda. Motilal Banarsidass. ISBN 978-81-208-1467-7.
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
Daftar Pustaka
- Deussen, Paul (1997). Sixty Upanishads of the Veda. Motilal Banarsidass.
- Prasoon, Prof.S.K. (1 January 2008). Indian Scriptures. Pustak Mahal.
- Olivelle, Patrick (1992). The Samnyasa Upanisads. Oxford University Press.
- Olivelle, Patrick (1993). The Asrama System. Oxford University Press.








