| Arachis pintoi | |
|---|---|
| Dedaun dan bunga Arachis pintoi | |
| Pengelasan saintifik | |
| Domain: | Eukaryota |
| Alam: | Plantae |
| Klad: | Trakeofit |
| Klad: | Eudikot |
| Klad: | Rosid |
| Order: | Fabales |
| Keluarga: | Fabaceae |
| Genus: | Arachis |
| Spesies: | A. pintoi
|
| Nama binomial | |
| Arachis pintoi | |
Arachis pintoi, juga dipanggil dengan nama biasanya kacang tanah Pinto atau kacang hias,[1] ialah sejenis tumbuhan makanan ternakan yang berasal dari vegetasi Cerrado di Brazil. Ia tumbuhan asli di lembah-lembah hulu São Francisco dan sungai-sungai Jequitinhonha di Minas Gerais. Ia dinamakan sempena ahli botani Brazil, Geraldo Pinto, yang pertama kali mengumpul tumbuhan ini di kawasan Boca do Córrego, município de Belmonte (Negeri Bahia) pada tahun 1954 dan mencadangkan potensinya sebagai makanan ternakan. Spesies ini pertama kali dihuraikan oleh A. Krapovickas dan W. Gregory pada tahun 1994.
Tumbuhan saka liar yang berkait dengan kacang tanah ini semakin penting dalam usaha pemajuan padang rumput di kawasan tropika. Tabiat pertumbuhannya yang menjalar melalui batang rayap, penghasilan biji benih di bawah tanah, kualiti foraj yang tinggi, serta penerimaannya oleh lembu ragutan amat bernilai. Ia digunakan secara meluas dalam sistem ragutan tropika untuk ternakan ruminan.[2] Kultivar yang paling lazim kali pertama diperkenalkan pada tahun 1989 sebagai kultivar ‘Amarillo’ di Australia. Kemudian, ia diperkenalkan di Colombia pada tahun 1992 sebagai kultivar ‘Maní Forrajero Perenne’. Ia telah diedarkan secara meluas di kawasan tropika sebagai aksesi CIAT 17434.
Huraian
Kacang pinto ialah kekacang saka yang menjalar melalui stolon dan mampu mencapai ketinggian antara 20 – 50 cm serta membentuk hamparan rumput yang tebal. Ia mempunyai akar tunjang yang kuat dengan banyak akar sekunder yang mempunyai bintil. Batangnya pada awalnya tumbuh mendatar sebelum menjadi tegak. Daunnya terdiri daripada empat anak daun (tetrafoliat). Anak daunnya berbentuk bujur terbalik hingga obovat, berukuran 4.5 cm panjang x 3.5 cm lebar, licin dan berwarna hijau gelap di bahagian atas serta berbulu halus di bahagian bawah. Bunganya berwarna kuning, tumbuh pada tangkai pendek di ketiak daun dan sangat mirip dengan bunga kacang tanah, tetapi lebih kecil. Seperti kacang tanah, selepas pendebungaan, tangkai bunga akan memanjang dan tumbuh menembusi tanah hingga kedalaman sekitar 7 cm. Buahnya ialah lenggai bawah tanah yang mengandungi satu biji, berukuran 1–1.5 cm panjang dan berdiameter 6–8 mm. Ia biasanya ditemui dalam lapisan tanah atas sedalam 10 cm.[3]


Rujukan
- ^ "NParks | Arachis pintoi". www.nparks.gov.sg. Dicapai pada 2025-10-24.
- ^ Heuzé, V., Tran, G., Delagarde, R., Bastianelli, D., & Lebas, F. (2017). Pinto peanut (Arachis pintoi). Feedipedia, sebuah program oleh INRA, CIRAD, AFZ dan FAO. Terakhir dikemas kini pada 26 Jun 2017, 15:11.
- ^ "Pinto peanut (Arachis pintoi) | Feedipedia". www.feedipedia.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2023-05-12.
Pautan luaran
Kategori berkaitan Arachis pintoi di Wikimedia Commons








