Pada 22 Mac 2018, Sinar Harian menganjurkan Wacana Sinar ke-53 bertajuk Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM? Wacana itu mencetuskan pelbagai reaksi dan menjadi tular kerana ia membincangkan kemampuan Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ketika itu Mahathir telah pun berusia 92 tahun.[1]
Siri wacana itu disertai Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.[2] Sesi wacana itu dikendalikan Nazri Kahar dari Astro Awani selaku moderator.[3]
Mahathir juga membuat kejutan apabila menghadiri wacana ini. Beliau yang berbaju kelabu ditemani isteri beliau, Siti Hasmah Mohd Ali dan disambut dengan meriah oleh penyokong dan hadirin.[2] Menurut laporan Sinar Online yang menganjurkan wacana itu, Mahathir dipetik sebagai berkata beliau mampu menggalas tugas sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi PRU-14 walaupun usianya hampir 93 tahun.[4] Beliau juga kemudian mendominasi forum itu apabila moderator dan ahli panel sendiri turut bertanya soalan kepada Mahathir.[2]
Selain itu, Kamarul Zaman Yusoff turut mengkritik kehadiran Mahathir yang menurutnya tidak profesional kerana hadir tanpa jemputan, malah mendakwa ia seolah-olah dirancang untuk memalukannya sebagai pengkritik Mahathir. Beliau juga tidak berpuas hati terhadap moderator wacana tersebut yang didakwa memberi lebih tumpuan kepada Mahathir berbanding panelis lain. Menurut Kamarul Zaman, tindakan itu telah mencetuskan reaksi penyokong Mahathir di media sosial yang mengkritik beliau secara meluas.[3]
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ HARIAN, WARTAWAN SINAR (2019-07-10). "Tun Mahathir anugerah kepada Malaysia". Sinar Harian.
- ^ a b c "Mahathir kejutkan forum, minta cakap 'depan-depan'". Malaysiakini. 2018-03-22.
- ^ a b Hadi, Mohd Zaini Samsu (2018-03-23). "Mahathir tak profesional, pengecut datang majlis mengejut". MalaysiaGazette.
- ^ "Buat Kejutan Pada Wacana Adakah Dirinya Terlalu Tua Jadi PM, Ini Jawab Tun M". www.mstar.com.my. 2018-03-23.