Angkatan Pemuda Insaf Awakened Youth Organization اڠكتن ڤمودا انصاف API | |
|---|---|
| Ketua | Ahmad Boestamam (Datok Abdullah Thani bin Raja Kechil) |
| Setiausaha | Ibrahim Karim |
| Ditubuhkan | 17 Februari 1946[1] |
| Ibu pejabat | Ipoh, Perak |
| Ideologi | Nasionalisme, Marhaenisme |
| Warna | Merah Putih |
| Slogan | Merdeka dengan darah[2] |
| Tapak sesawang | Laman Facebook Angkatan Pemuda Insaf (API) |
| sunting · sunting di Wikidata | |
| Artikel ini adalah sebahagian daripada siri pada |
| Politik Malaysia |
|---|
|
|
| Portal Malaysia |
Angkatan Pemuda Insaf (Jawi: اڠكتن ڤمودا انصاف, Bahasa Inggeris: Awakened Youth Organization, disinggkatkan kepada API) telah ditubuhkan pada tahun 1946 di Brewster Road (Jalan Sultan Idris Shah), Ipoh, Perak Darul Ridzuan.
Sejarah
Pengerusinya yang pertama ialah Abdullah Sani bin Tengku Kecil atau lebih dikenali dengan nama Ahmad Boestamam.[3] API merupakan sebuah pertubuhan politik yang berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu terutamanya dalam tahun-tahun awal perjuangan menentang penjajah Inggeris. API juga merupakan barisan yang terkuat dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang wujud dalam tahun 1945 hinggalah negara mencapai kemerdekaan. [4]
Kewujudan API sebagai salah satu komponen yang terkuat telah menyebabkan PKMM lebih radikal dan telah menyebabkan ia mendapat perhatian dan sokongan kuat daripada rakyat umum.
Disusun pada mulanya sebagai sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), sama seperti Angkatan Wanita Sedar (AWAS) sayap pemudi yang dipimpin oleh Shamsiah Fakeh. API kemudiannya bergerak sendiri selepas Kongres PKMM yang kedua di Kota Melaka pada bulan Disember 1946.
Pemimpin-pemimpin API adalah terdiri daripada rakyat biasa. Antaranya ialah Ahmad Boestamam, selaku Ketua API seluruh Tanah Melayu; Encik Karim Abu Bakar, Ketua Komandan API Perak; serta Encik Ghafar Baba, Ahli Jawatankuasa API Melaka.
API merupakan sebuah pertubuhan politik Melayu berhaluan kiri yang memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Parti ini mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Gabungan Pemuda Demokratik Sedunia dan Pertubuhan Lembaga Pemuda Bangsa Asia di Indonesia yang banyak mempengaruhi API dalam setiap sudut perjuangannya.
Organisasi
API mempunyai tiga persatuan yang bernaung di bawah panji-panjinya.[5]
- Barisan Pemuda Merah - Persatuan khusus untuk aktiviti gerilla, perniagaan dan pertanian.
- Barisan Pemuda Puteh - Persatuan khusus untuk anak-anak nelayan
- Pertahanan Tanah Ayer - Gerakan elit ketenteraan pemuda
Perjuangan API
Tujuan berdirinya API sebagaimana yang terkandung dalam buku "Testament Politik API" adalah:
(a) Menyatukan pemuda-pemuda insaf dalam satu BARISAN.
(b) Mengukuhkan barisan perjuangan untuk bangsa dan tanah air.
(c) Memberi latihan siasah, ROHANI dan JASMANI kepada pemuda-pemudanya supaya bersedia menjadi pemimpin bila dikehendaki.
(d) Membina semula Malaya mengikut fahaman demokrasi yang sejati berdasarkan kedaulatan rakyat.
(e) Menuntut perwakilan dalam pemerintahan Malaya.
Pendek-nya API mahu berjuang untuk mencapai kemerdekaan bangsa dan tanahair dengan segala jalan yang terbuka, dengan lembut jika boleh, dengan keras jika terpaksa.
API berkeyakinan kemerdekaan bangsa dan tanahair hanya boleh didapati dengan tenaganya sendiri, dengan jalan percaya kepada tenaga sendiri.
Ideologi API
Ideologi dan cita-cita API itu ialah:-
1. Dalam Politik
API mahu kepada satu negara merdeka, demokrasi tulen, pemerintahan datang dari rakyat dan faedah kebajikan untuk rakyat (dari rakyat untuk rakyat).
2. Dalam Ekonomi
API mahu kepada satu susunan ekonomi yang teratur dari rakyat untuk rakyat.
3. Dalam Sosial
APi mahu kepada satu susunan masyarakat dan keadilan sosial: Keadilan sosial adalah merupakan kayu pengukur sama ada demokrasi berjalan sepenuhnya atau pun tidak. API menyatakan bahawa selagi ada susun kelas mesyarakat selagi itulah demokrasi tidak tulen. API mahukan penentangan kelas antara rakyat dihapuskan dalam masyarakat bangsa Melayu. [6]
API Diharamkan
Parti ini diharamkan oleh kerajaan British dengan persetujuan YDP UMNO ketika itu, Dato' Onn Jaafar pada 17 Julai, 1947 dalam Warta Kerajaan Malayan Union. Tindakan mengharamkan pertubuhan yang berhaluan kiri itu adalah mengikut Ordinan Persatuan, 1947 (Societies Ordinance, 1947). Parti ini menjadi parti pertama diharamkan oleh kerajaan British di Tanah Melayu.[7]
Tindakan mengharamkan Angkatan Pemuda Insaf adalah berikutan keadaan tindakan huru hara yang kononnya dilancarkan oleh gabungan AMCJA/PUTERA serta kegiatan golongan kiri yang dipelopori oleh API.
Selepas mengetahui asas-asas perjuangan API yang membahayakan melalui buku 'Testament Politik API' yang diterbitkan, maka Kerajaan Inggeris mengambil tindakan mengharamkan API atas sebab-sebab keselamatan. [8]
Tindakan Inggeris ini menunjukkan betapa mereka takut terhadap pertubuhan ini dan tidak kepada gerakan-gerakan gerila Parti Komunis Malaya. Tindakan mengharamkan tindakan ini oleh Inggeris juga menunjukkan bahawa API adalah pertubuhan politik berhaluan kiri yang berpengaruh, agresif serta aktif dalam gerakan dan cita-citanya. Keadaan ini dapat menafikan anggaran yang selama ini menganggap orang-orang Melayu terlalu lemah dan bersikap konservatif.
Rujukan
- ^ Hassan, Hasfalila (2016-01-01). [chrome-extension://efaidnbmnnnibpcajpcglclefindmkaj/https://ir.upsi.edu.my/sw_inc/doc.php?t=p&did=2293&id=14150226 Angkatan Pemuda Insaf: (1946-1947)] Check
|url=value (bantuan) (Tesis). Universiti Pendidikan Sultan Idris. - ^ Hagemann, Karen; Rose, Sonya O.; Dudink, Stefan (2020). The Oxford Handbook of Gender, War, and the Western World Since 1600 (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. m/s. 684. ISBN 9780197513125.
- ^ Ariff, M Zaki (16 April 2023). "Kisah Boestamam dan rumah No. 5". Sinar Harian. Dicapai pada 24 Disember 2024.
- ^ Hari Ini Dalam Sejarah Angkatan Pemuda Insaf (API) Ditubuhkan, Arkib Negara Malaysia
- ^ Noh, Abdillah (2024). Malaysia’s State Formation (dalam bahasa Inggeris). Taylor & Francis. ISBN 9781003805816.
- ^ Ahmad Boestamam Testament Politik API, 1946
- ^ Kai, Poh Soo; Tan, Jing Quee; Sandran, Jomo Kwame (2001). Comet in Our Sky (dalam bahasa Inggeris). ISBN 9789811891014.
- ^ Hari Ini Dalam Sejarah Pengharaman Angkatan Pemuda Insaf (A.P.I.) diwartakan Arkib Negara Malaysia










