| Anggerik selipar | |
|---|---|
| Anggerik selipar genus Paphiopedilum | |
| Pengelasan saintifik | |
| Domain: | Eukaryota |
| Alam: | Plantae |
| Klad: | Trakeofit |
| Klad: | Monokot |
| Order: | Asparagales |
| Keluarga: | Orchidaceae |
| Subkeluarga: | Cypripedioideae Kostel. |
| Genus | |
|
Lihat teks | |
| Julat genus Cypripedioideae | |
Cypripedioideae ialah subkeluarga anggerik yang sering dikenali sebagai anggerik selipar, orkid selipar atau bunga kasut.[1][2] Genus-genus Cypripedioideae termasuk Cypripedium, Mexipedium, Paphiopedilum, Phragmipedium dan Selenipedium.[3] Ia dicirikan oleh kantung bunga (lidah terubah suai) yang berbentuk selipar – kantung ini memerangkap serangga untuk dipaksa memanjat ke staminodus di belakang, tempat terkumpul dan tersimpannya polinium, sehingga mendebungakan bunga. Terdapat sekitar 165 spesies dalam subkeluarga ini.

Taburan
Spesies dalam Cypripedioideae terdapat di utara Amerika Selatan dan Amerika Tengah (Mexipedium, Phragmipedium, Selenipedium), sekeliling utara Amerika Utara, Eropah, Afrika (Algeria[4]) dan selatan Asia (Cypripedium) seperti di tropika dan subtropika Asia Tenggara (Paphiopedilum). Ia tidak ditemukan di Australia dan Afrika. Taburannya mungkin tersebar dari titik asalnya di Amerika Tengah.
Taksonomi
Subkeluarga Cypripedioideae monofilik dan terdiri daripada lima genus:
- Cypripedium, ditemukan di kebanyakan Amerika Utara, seperti di sebahagian Eropah (satu spesies), Afrika (ditemukan pada 2019 hanya di Algeria[5]) dan Asia. Bunga negeri Minnesota ialah bunga kasut cantik (Cypripedium reginae); bunga kasut dadu (Cypripedium acaule) pula bunga rasmi wilayah Kanada di Pulau Prince Edward.
- Mexipedium, genus monotip, terdiri dari spesies tunggal yang dijumpai di penempatan tunggal di Oaxaca, Mexico.
- Paphiopedilum, dijumpai di hutan tropika Asia Tenggara sehingga sejauh ke utara Selatan China. Paphiopedilum agak mudah ditanam sehingga terkenal di kalangan penggemar anggerik. Namun, pengumpulan berlebihan genus ini sangat meluas sehingga banyak spesies kini kurang berdaya hidup di habitat liar.
- Phragmipedium, dijumpai di utara Amerika Selatan dan Tengah, turut mudah ditanam lantaran ia memerlukan suhu lebih rendah berbanding Paphiopedilum lantas mengetepikan keperluan rumah hijau di banyak kawasan.
- Selenipedium, dijumpai di Amerika Selatan dan Tengah.
Kacukan intergenus
Kacukan antara genus dalam subkeluarga ini diletakkan dalam notogenus berikut:[6]
- Cyphiopedilum (Cphd.) = Cypripedium × Paphiopedilum
- Cyphragmipedium (Cgd.) = Cypripedium × Phragmipedium
- Phragmipaphium (Phrphm.) = Paphiopedilum × Phragmipedium
Kacukan antara genus luar subkeluarga tidak dikenal pada 2017.
Rujukan
- ^ Wilkinson, Richard James (1932). "kasut". A Malay-English dictionary (romanised). I. Mytilini, Yunani: Salavopoulos & Kinderlis. m/s. 515 – melalui TROVE, Perpustakaan Negara Australia.
- ^ Siti Saadah (pemuat naik) (26 Februari 2003). Ekosistem-Ekosistem Di Sabah: Hutan Hujan Tanah Pamah Tropika. m/s. 31. Dicapai pada 2022-05-06.
- ^ Cash, C. (1991). The Slipper Orchids (dalam bahasa Inggeris). Timber Press. ISBN 0-88192-183-1.
- ^ "Découverte de Cypripedium calceolus (Orchidaceae) au Djurdjura (Algérie), nouvelle pour l'Afrique du Nord". Flora Mediterranea. Fondazione Pro Herbario Mediterraneo. 29. 2019. doi:10.7320/flmedit29.207. ISSN 1120-4052.
- ^ Walid, Nemer & Rebbas, Khellaf & Krouchi, Faiza. (2019). Découverte de Cypripedium calceolus (Orchidaceae) au Djurdjura (Algérie), nouvelle pour l’Afrique du Nord. Flora Mediterranea. 29. 207-214. 10.7320/FlMedit29.207.
- ^ Alphabetical One-Table List of Genera and Intergeneric Hybrids, Royal Horticultural Society, 2017.








