Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan merupakan alat-alat yang paling unggul dan dihormati. Alat-alat ini digunakan di dalam Istiadat Pertabalan seseorang Sultan. Di dalam Istiadat atau Upacara Kebesaran di-Raja yang lain, hanya sebahagian sahaja digunakan dan dipakai oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak.[1]
Asal-usul
Alat-alat Kebesaran ini dibawa ke Negeri Perak Darul Ridzuan dari Kampar di Sumatera oleh Sultan Perak Yang Pertama, Sultan Mudzaffar Shah (1528-1549) pada abad keenam belas. Pedang Cura Si Manjakini, Keris Seri Gading dan Keris Taming Sari adalah di antara Alat-alat Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan yang paling unggul.[1]
Pedang Cura Si Manjakini bersama-sama dengan Rantai Bunga Nyiur, Pontoh Bernaga, Pontoh Ular Lidi dan Mohor Kecil Cap Halilintar adalah pakaian Sultan Perak semasa pertabalan. Kesemua alat ini dibawa ke Perak dari Melaka oleh Sultan Perak Pertama. Alat-alat Kebesaran Negeri yang turut dibawa oleh Sultan Mudzaffar Shah dan mengiring Baginda Sultan dalam Istiadat Pertabalan termasuklah Puan Naga Taru dan Puan Bujur (tepak sirih emas) dan Keris Warisan yang bermata emas dan Keris Tamingsari. Walau bagaimanapun terdapat beberapa alat asal yang telah hilang dalam peredaran zaman dan sewaktu peristiwa pelik dan mistik di Beting Beras Basah.[1]
Selain itu, diantara Alat-alat Kebesaran di-Raja yang telah hilang semasa Sultan Ismail Muabidin Riayat Shah memindahnya dari Istana pada tahun 1874 termasuklah Mundam, iaitu mangkuk emas bertatah permata di sekeliling bikar dan beralaskan pinggan emas, dan tali pinggang yang diperbuat daripada enam belas keping cakra yang bercantum.
Selain daripada alat-alat tersebut ada beberapa alat lagi yang ditambah dari masa ke masa. Diantaranya termasuklah Lembing Kerajaan, Payung Kerajaan dan Payung Di-Raja.[1]
Senarai Alat Kebesaran Negeri Perak
- Tanjak Di-Raja
- Aigrette Di-Raja
- Tiara
- Pedang Cura Si Manjakini
- Keris Taming Sari
- Pontoh
- Keris Seri Gading
- Batu Geliga Mestika Embun
- Agok
- Kancing Halkah
- Dokoh (Kerongsang Besar)
- Kamar
- Rantai Bunga Nyiur
- Mohor Kecil Cap Halilintar
- Mohor Raja
- Geluk
- Puan
- Batil Emas
- Jata Di-Raja
- Panji Di-Raja
- Lembing Kerajaan Negeri Perak
- Payung Di-Raja
- Payung Kerajaan Negeri
- Sundang Keris Panjang
- Baur-Baur Orang Besar Negeri
- Tengkolok
- Nobat
Rujukan
- ^ a b c d "Alat-alat Kebesaran Negeri Perak". sultan.perak.gov.my. Dicapai pada 2025-12-11.








